Hari Ahad lepas (8 Sept), aku dah pergi tonton cerita Tanda Putera, cerita yang orang kata racist dan banyak kontroversi. Memang aku ada baca sikit sikit gosip dan khabar angin pasal cerita ni. Tu yang buat orang ramai tak tengok sangat cerita ni. Even aku pun tak terkejut bila pergi wayang, tengok cerita ni, cuma ada tak lebih 10 orang yang tengok. Tapi aku tabiklah ada satu pasangan Cina ni yang dapat tengok sekali cerita ni. Kalau yang ni, aku agak terkejut dan kagum, ada juga orang Cina yang suka tengok cerita Melayu. Mungkin peminat sejarah?
Ok, bagi mereka yang tak tau, cerita Tanda Putera ni adalah sebuah filem bersejarah. No..... not a historic film exactly. A melodrama reenactment based on historical facts, to be correct. Arahan Shuhaimi Baba, yang telah mengarahkan filem kemerdekaan negara yang pertama, 1957 Hati Malaya, also a melodrama reenactment based on historical facts film. Katanya, ni sekuel kepada filem tuh, tapi aku tak rasa ianya sekuel, sebab pelakon yang ada dalam 1957 Hati Malaya dah bawa watak lain dan bukan watak yang sama dalam filem sebelumnya.
Contohnya:-
- Rusdi Ramli sebagai Zahari / Hali (1957 Hati Malaya), sebagai Tun Abdul Razak (Tanda Putera)
- Zaefrul Nordin sebagai Dato' Onn Jaafar (1957 Hati Malaya), sebagai Koperal Musa (Tanda Putera)
- Ida Nerina sebagai Datin Halimah Hussein (1957 Hati Malaya), sebagai Kak Jah Steno, salah seorang setiausaha di Pejabat Jabatan Perdana Menteri (Tanda Putera)
- Chew Kin Wah sebagai Tun H.S. Lee (1957 Hati Malaya), sebagai Tan Chong Chor, salah seorang pemimpin PKM (Tanda Putera)
Dan ada juga pelakon lain yang menggantikan pelakon asal dalam memegang sesebuah watak (terutamanya tokoh / pemimpin), yang membezakan filem sekuel dan prekuel.
Seperti:-
- Watak Tun Dr. Ismail dipegang oleh Megat Sharizal Bin Mohamed Yusoff dalam 1957 Hati Malaya, kemudian diberikan kepada Zizan Nin dalam Tanda Putera
- Watak Tun Abdul Razak dipegang oleh Noor Azhar Murad dalam 1957 Hati Malaya, kemudian dibawakan oleh Rusdi Ramli dalam Tanda Putera
- Watak Tun Sardon Jubir yang dilakonkan oleh Ngasrizal Ngasri, tetapi diberikan kepada pelakon lain (tak kenal pulak siapa namanya.... siapa tahu?)
Namun ada juga watak yang dikekalkan pelakon asalnya seperti watak Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang dilakonkan oleh Kamarulzaman Taib (Che'Kem) dalam kedua-dua buah filem. Mungkin sebab memang raut wajah Che'Kem ni memang serupa dengan Tunku.
Click to enlarge. Source: Tanda Putera official page. |
Toh Puan Rahah Mohammad Noah, isteri Tun Abdul Razak. (lakonan Faezah Elai) |
Toh Puan Norashikin @ Neno Mohd. Seth, isteri Tun Dr. Ismail (lakonan Linda Hashim) |
Tun Hussein Onn, Timbalan Perdana Menteri ke-3 selepas Tun Dr. Ismail & PM ke-3 (lakonan Hasnul Rahmat) |
Najib Tun Razak, anak sulung Tun Abdul Razak (lakonan Sahee Shamsuddin)
Johari Tun Abdul Razak, anak Tun Abdul Razak (lakonan Razif Hashim)
|
Tan Sri Arshad Ayub, Pengarah Pertama Institut Teknologi MARA, kemudiannya dikenali sebagai UiTM (lakonan Fizz Fairuz) |
IGP Haniff Omar, Ketua Polis Negara yang menggantikan KPN sebelumnya (lakonan Norman Hakim) |
Tawfik Tun Ismail, anak Tun Dr Ismail yang menyimpan diari bapanya dan telah mengetahui penyakit Tun Razak (lakonan Ismaizal Yusoof) |
Okay, panjang bercerita pasal watak, kita tengok pulak apa pandangan aku mengenai filem ni.
(please keep in mind, that all pictures used here is to show how the plot works in film, and the pictures are taken from the official page of Tanda Putera. these pictures, however, are the raw pictures (means that they haven't gone through the editing process and so on.... so don't make assumptions on how the production team failed to cover those faults, cause they are not faults)
Secara keseluruhannya, filem Tanda Putera ni berdasarkan kisah hidup Tun Abdul Razak, semenjak beliau telah menyandang jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri dan kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia Pertama. Ketika itu, masyarakat di Semenanjung Malaysia sedang berada dalam tekanan akibat komunis dan anasir radikal subversif (radical subversive elements) yang menghasut masyarakat setempat untuk memboikot pilihanraya 1969. Filem ini dimulakan dengan prolog Tun Abdul Razak mengalami satu dream sequence di mana dia bermimpi dikejar oleh pihak musuh di dalam hutan, dan tiba-tiba ditembak hingga mengakibatkan beliau jatuh dari sebuah tempat yang tinggi. Beliau kemudiannya terkejut dari mimpinya dan mulutnya berdarah (mungkin akibat penyakit leukemianya) tetapi tidak diberitahu kepada isterinya.
Tun Abdul Razak seterusnya telah melawat sebuah petempatan Felda yang baru ditubuhkan dan dibina. Dua orang kanak-kanak dalam keadaan comot sedang berjalan menuju ke sekolah. Kebetulan Tun Abdul Razak dan Toh Puan Rahah lalu situ, lalu diberi tumpang ke sana. Kemudian, ditunjukkan pula acara perasmian pecah tanah di mana Tun Abdul Razak memandu jentolak dan kemudiannya, bermesra dengan penduduk setempat.
Seterusnya, ditunjukkan pula situasi komunis sedang mengugut beberapa orang untuk memboikot pilihanraya, dan ada juga antara mereka yang dipenggal kepala kerana enggan bekerjasama dengan komunis. Barulah ditunjukkan kejadian pembunuhan seorang pekerja UMNO oleh beberapa orang pemuda Parti Gerakan dan dituang dengan cat merah tanda mereka ingin mengugut agar "tidak keluar mengundi pada pilihanraya nanti"
Pembunuhan lain pula berlaku apabila salah seorang pemuda Parti Gerakan telah mati ditembak polis kerana membuat vandalisme pada poster pilihanraya dengan menggunakan cat merah. Perarakan berkabung diadakan oleh Parti Gerakan, namun sebaliknya bertukar menjadi rusuhan apabila mereka meluahkan kata-kata yang sukar difahami oleh orang Melayu kerana dorang bercakap dalam bahasa Cina. Ini salah satu kelemahan orang Melayu yang dimanfaatkan oleh puak radikal - tak boleh faham bahasa Cina. Hanya apabila Sarjan Aman (Riezman Khuzairi) bertanya dengan anggota polisnya yang berbangsa Cina barulah dia faham apa yang dipekikkan pemuda-pemuda tersebut. Dorang juga mengugut polis dengan menyanyikan lagu komunis Mao dan mengibarkan poster Pengerusi Mao dan bendera merah. Kalau ikut sejarah, kejadian lebih teruk hingga berpuluh-puluh orang Cina berhimpun dan berarak ke Kuala Lumpur, namun dalam filem, ditunjukkan sebahagian saja. Mungkin nak elak kontroversi yang berlebihan dan isu sensitiviti masyarakat Cina. Tu pun belum ada lagi unsur rasis dalam filem ni yang nak buktikan filem ni rasis dan menyentuh isu sensitiviti.
Kemudian, filem ini bergerak terus selepas keputusan Pilihanraya 1969 diumumkan, dengan Parti Perikatan / Barisan Nasional menang tipis manakala Parti Gerakan dan DAP menang besar. Perarakan diadakan pada 11 dan 12 Mei. Namun, ada pihak yang melanggar permit polis untuk berarak, dan membuat rusuhan dengan menghalau orang-orang Melayu di bandar untuk keluar dari bandar, pulang ke kampung atau keluar dari negeri Selangor. Dorang juga tuntut Selangor milik mereka.
Ini menimbulkan kemarahan orang Melayu, lebih-lebih lagi, bila ada orang Cina yang bertindak membelasah dan menyerang sesiapa sahaja orang Melayu di bandar. Ada juga kejadian orang Cina kencing di tiang bendera Selangor di hadapan rumah Dato' Harun Idris. Akibatnya, orang-orang Melayu ingin membalas dendam. Situasi Dato' Harun Idris naik ke atas van untuk menenangkan orang-orang Melayu macam dalam filem tu ada terjadi dalam sejarah. Sejurus selepas itu, orang-orang Melayu menyerang sesiapa sahaja orang Cina yang datang ke kampung, kerana berpendapat, mereka akan jadi tali barut orang Cina untuk usir orang Melayu keluar dari Selangor.
Tun Abdul Razak pula tertekan dengan panggilan telefon kecemasan oleh Dato' Harun Idris, Dato' Lim Chong Eu dan pemimpin lain. Tun Abdul Razak minta tolong Tun Dr. Ismail, sebab Dr. Ismail ni rapat dan kenal dengan orang-orang Cina. Akhirnya, dengan kerjasama pihak polis, rusuhan dapat dikawal. Atas inisiatif Tunku, MAGERAN ditubuhkan. Tun Abdul Razak sebagai pengerusi, Rukun Negara diperkenalkan.
Kejadian lain yang turut tercatat dalam sejarah hitam sepanjang tragedi 13 Mei juga turut dilakonkan semula dalam filem ini seperti peristiwa pembunuhan beramai-ramai orang Melayu yang dilakukan oleh orang Cina di sebuah pawagam (dalam sejarah, ianya berlaku di Pawagam Odeon). Ianya berlaku apabila penonton-penonton sedang menyaksikan sebuah cerita di pawagam tersebut, dan tiba-tiba dikeluarkan notis bahasa Cina. Macam dinyatakan tadi, kelemahan orang Melayu ialah tak faham bahasa Cina. Masa aku tengok notis tu keluar, aku tak faham, tapi aku ada baca dalam buku sejarah yang kejadian tu memang pernah berlaku, cuma aku tak tahu apa maksudnya. Aku tanyalah perempuan cina yang duduk sebelah aku. Dia kata, maksudnya "semua orang cina beralih keluar". Dan memang pun. Semua orang Cina keluar dari pawagam tu, kecuali orang Melayu dan yang bukan Cina. Kemudian, cerita tu ditayangkan semula, tetapi orang-orang Cina berparang datang serang penonton. Ada yang dibelasah, ada yang ditetak, ada yang dipenggal. Yang lain ada yang sempat lari keluar.
Selepas tragedi 13 Mei 1969 dan usaha kerajaan mematahkan serangan komunis dan elemen subversif radikal ni, Tunku Abdul Rahman akhirnya meletak jawatan dan menamakan Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia seterusnya. Maka, Tun Abdul Razak pun mengambil alih tampuk pentadbiran negara dengan Tun Dr. Ismail, orang kepercayaannya sebagai Timbalan Perdana Menterinya.
Dalam suatu pemeriksaan kesihatan oleh Tun Dr. Ismail sendiri, beliau mendapati bahawa Tun Abdul Razak menghidapi leukemia yang parah. Namun Tun Abdul Razak tidak mahu beliau memberitahu Toh Puan Rahah serta orang lain, malahan rakyat, kerana khuatir pihak komunis yang masih ada dalam persembunyian atau mana-mana pihak berhaluan kiri akan menggunakan kelemahannya untuk menumbangkan kerajaan yang sedia ada.
Oh, sebelum tu, filem ada 2 plot penceritaan iaitu, Plot A dan Plot B. Plot A merupakan pengkisahan hidup Tun Abdul Razak (termasuklah persahabatannya dengan Tun Dr. Ismail, kehilangan beliau, perjuangan menentang musuh dan ketabahannya menghadapi penyakit sambil memimpin negara) manakala plot B merupakan penceritaan sebuah keluarga Melayu yang hidup ketika itu. Tak ingatlah nama wataknya, tapi kisah dorang ada kait rapat dengan Plot A. Bapa mereka merupakan anggota polis, manakala anak lelakinya seorang guru sementara di sekolah berhampiran yang masih belajar manakala anak perempuannya seorang penuntut di Universiti Malaya. Tak pasti sama ada cerita ini perlu atau tidak dalam filem ni, kerana plot B ini seakan mengelirukan fikiran penonton yang telah dibebankan dengan plot A yang begitu padat dengan pelbagai peristiwa yang ingin dimuatkan oleh pengarah. Tetapi ia sedikit sebanyak memberi elemen melodrama dalam filem ni.
Memandangkan Tun Abdul Razak terpaksa pergi menghadiri persidangan di Ottawa, Kanada, beliau telah meminta jasa baik Tun Dr. Ismail untuk menjaga keluarganya dengan baik. Di sini menunjukkan bahawa persahabatan mereka amatlah telus dan utuh sehingga Tun Dr. Ismail tak sanggup memberitahu penyakitnya kepada Tun Abdul Razak kerana tak mahu Tun Abdul Razak hilang kepercayaan kepadanya dan membebankannya. Tun Dr. Ismail juga meminta Dr. MacPherson untuk menemani Tun Abdul Razak di sana untuk keperluan perubatannya.
Tun Dr. Ismail pula bertindak sebagai pemangku Perdana Menteri di Malaysia dibantu Tun Hussein Onn dan menteri-menteri lain. Beliau sempat menziarahi isterinya yang telah selamat menjalani pembedahan tubal ligation di hospital. Namun, beliau telah mula menunjukkan simptom-simptom serangan jantung sebelum menghembuskan nafas terakhir di rumahnya.
Berita kematian Tun Dr. Ismail itu diketahui oleh Tun Abdul Razak setelah menerima telegram menyatakan Tun Dr. Ismail mengalami heart attack. Ketika beliau berasa sangat sedih hingga menitis air mata. Ha! Masa ni, ah moi Cina sebelah aku dah menangis teresak-esak. Mungkin terharu dengan hubungan persahabatan mereka yang terputus begitu sahaja, dan Tun Abdul Razak tidak tahu langsung mengenai penyakitnya itu. Maka Tun Abdul Razak mohon agar pengebumiannya ditangguhkan sehingga beliau tiba ke Malaysia. Tun Abdul mahukan Tun Dr. Ismail disemadikan di bawah bangunan bumbung yang bermarmar di Makam Pahlawan. Malah beliau sanggup mengarahkan agar marmar dipecahkan bagi mengebumikan Tun Dr. Ismail.
Tun Hussein Onn pun naik menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Namun, tidak lama itu, Tun Abdul Razak semakin lemah dan perlu mendapatkan rawatan lanjut. IGP Haniff Omar menasihatkan agar Tun Abdul Razak segera mendapatkan rawatan rapi dan perubatan di London, England dan kembali ke tanah air memimpin negara setelah sembuh. Dr. MacPherson saja yang tahu betapa parahnya penyakit Tun Abdul Razak dan mendakwa mustahil untuk Tun Abdul Razak kembali ke Malaysia selepas ini.
Sepanjang rawatannya, Tun Abdul Razak mengalami pelbagai dream sequence dan flashback seperti tekanan oleh pihak kerajaan berdepan dengan ancaman komunis ingin membunuh ketua polis, tentera dan pemimpin negara termasuk Perdana Menteri. Tekanan semakin terasa apabila Ketua Polis Negara, IGP Abdul Rahman Hashim dan Ketua Polis Perak, Khoo Chong Kong ditembak mati oleh PKM. Namun, akhirnya selepas Tun Abdul Razak membuat hubungan diplomatik dengan Pengerusi Mao Zedong yang telah mengatakan bahawa China tak sokong KPM, fahaman komunis dapat dihapuskan di Semenanjung Malaysia. Banyak lagi dream sequence yang agak bercelaru tetapi kalau difikirkan agak relevan dan patut diubah menjadi jalan cerita biasa agar mudah difahami.
Akhirnya, Tun Abdul Razak menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di London di samping isterinya, Toh Puan Rahah, anaknya Johari dan Dr. MacPherson. Berita kematiannya juga diketahui oleh Najib beberapa lama kemudian. Pengumuman juga telah dibuat dengan penuh menyayat hati oleh Tun Hussein Onn yang secara tidak langsungnya menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-3 menggantikan tempatnya.
Kemudian, dipaparkan video asal milik arkib yang memaparkan mayat Tun Abdul Razak ditayangkan di khalayak orang ramai untuk penghormatan terakhir dan dikebumikan bersebelahan makam rakan karibnya, Tun Dr. Ismail. Babak-babak terakhir juga menyaksikan keluarga Tun Abdul Razak dan seluruh negara bersedih atas kehilangan pemimpin tersohor itu.
Jadi, kesimpulannya, cerita ini wajar dipertontonkan kepada khalayak ramai tanpa memikirkan tentang sifat perkauman yang ada dan wujud kerana sememangnya kejadian 13 Mei 1969 itu menyentuh perkauman dan isu sensitiviti negara. Lagipun, part yang ada 13 Mei tu cuma suku daripada filem tu. Selebihnya memaparkan keakraban Tun Abdul Razak dengan Tun Dr. Ismail dan cabaran Tun Abdul Razak menangani penyakit kroniknya yang kita sendiri tak tahu.
Jadi, (jadi lagi...) rajin-rajinlah kita pergi ke wayang tengok cerita ni selagi masih ditayangkan. Takpun, nanti belilah DVD yang original dan tontonlah serta hayati filem ni. Kalau korang pernah tengok 1957 Hati Malaya, confirm korang akan tertarik nak tengok filem Tanda Putera.
P/S: Lepas ni, Shumi boleh buat filem tentang Tun Dr. Mahathir pulak! :)
nice entry,thanks for the sharing, mohon izin untuk dijadikan reference
ReplyDelete