[Sengaja saya tulis dalam Bahasa Melayu, nanti saya akan tulis yang baru dalam Bahasa Inggeris]
Hari ni saya akan membincangkan tentang rumusan filem terbaru arahan Christopher Nolan (The Dark Knight Trilogy, Inception, Memento) serta nukilan adiknya, Jonathan Nolan (Person of Interest) dibantu oleh beberapa kajian oleh ahli astrofizik Kip Thorne - Interstellar.
Sambil-sambil itu, kita belajar fizik asas dan penjelasan ringkas tentang konsep sains yang diaplikasikan dalam filem ini.
Sedikit sebanyak tentang latar belakang pembikinan filem ini...
Interstellar (BM: Antara Bintang) merupakan sebuah filem yang menampilkan genre pengembaraan angkasa lepas dengan diselitkan beberapa konsep sains fiksyen seperti 'wormhole', lohong hitam, dimensi kelima diadun dengan konsep pengiraan teori relativiti masa dan ruang oleh Albert Einstein. Filem ini diterbitkan menggunakan format IMAX dan dihasilkan tanpa ada penggunaan skrin hijau, penggunaan kesan khas yang minimal kerana adanya beberapa penggunaan model dan miniatur. Penggambaran dilakukan di Iceland, Canada dan California.
Rumusan adegan dan penceritaan...
Jadi filem ini membawa kita menyelami kisah pengembaraan Cooper (Matthew McConaughey) yang telah diyakinkan oleh Prof. Brand (Michael Caine) serta anaknya Dr. Amelia Brand (Anne Hathaway) untuk terbang ke sebuah sistem bintang yang menjanjikan planet-planet yang berpotensi menjadi Bumi yang seterusnya, memandangkan dunia kita kini telah dilanda musibah ribut pasir tak terjangka dan tanaman ladang mula tidak menjadi dan mati.
Misi penjelajahan ini disertai oleh dua orang angkasawan; Doyle (Wes Bentley), Romilly (David Gyasi) dan dua buah robot pintar yang tangkas, bijak dan pandai bergurau iaitu TARS (Bill Irwin) dan CASE (Josh Stewart). Namun, hasrat Cooper untuk terbang tinggi dihalang oleh anak perempuannya, Murph (Mackenzie Foy) kerana hubungan erat antara mereka berdua. Nak tak nak kenalah berjauhan sehinggalah Murph menjadi dewasa (Jessica Chastain).
Misi mereka diperkuat lagi dengan isyarat positif yang dihantar daripada 3 planet yang telah berjaya ditawan oleh angkasawan-angkasawan Misi Lazarus dipimpin oleh Dr. Mann (Matt Damon). Berbekalkan stesen angkasa Endurance, kapal penjelajah Ranger dan kapal kargo Lander, mereka bersiap siaga dengan 2 pelan menyelamatkan manusia sejagat:
Pelan A: Mengangkut seluruh masyarakat manusia di Bumi yang masih ada ke planet yang berjaya ditawan dan berpotensi menjadi habitat sempurna, atau
Pelan B: Mewujudkan generasi manusia baharu menerusi persenyawaan benih manusia yang dibekukan di planet baharu tersebut.
Setelah mengembara menelusuri 'wormhole' berhampiran planet Zuhal melalui dimensi ke-5, mereka tiba di sebuah sistem planet mengelilingi sebuah lohong hitam gergasi digelar Gargantua. 3 daripada 11 ekspedisi pencarian planet masih aktif dan dikesan.
Planet Miller merupakan planet pertama yang dikunjungi. Permukaannya dilitupi air sepenuhnya, namun cetek. Tanpa disedari, jaraknya yang begitu hampir dengan Gargantua menyebabkan masa berlalu 1 jam di planet itu bersamaan 7 tahun di Bumi. Selain itu, kandungan gravitinya 130% lebih tinggi daripada Bumi mengakibatkan gelombang ombak setinggi puncak Pergunungan Himalaya sentiasa bergelora. Malangnya, dek kelewatan menyedari hakikat ini, Doyle maut dilambung ombak dan 3 jam telah berlalu sewaktu berlindung di planet itu, bermakna 24 tahun sudah berlalu di Bumi.
Tertekan dengan kekurangan bahanapi dan bekalan hidup, anak kapal yang masih ada saling berbalah untuk menentukan planet mana yang harus dikunjungi. Cooper percaya dengan isyarat bagus daripada planet Dr. Mann manakala Brand berharap agar bertemu kekasih hatinya setelah sedekad berpisah di planet Edmund. Atas desakan Cooper, mereka terpaksa akur dan menuju ke planet Dr. Mann.
Sementara itu, di Bumi, Murph sudah meningkat dewasa, kini bekerja bersama Prof. Brand untuk mengikhtiarkan pelan A sekiranya misi Cooper berjaya. Namun, di saat saat nazaknya, Prof. Brand mengaku bahawa pelan A mustahil untuk dikecapi dan pengiraannya yang selama ini dikatakan belum selesai sudah diselesaikan, dengan tiada harapan lagi untuk manusia di Bumi. Kecewa dengan keputusan Prof. Brand, Murph nekad untuk berhubung dengan bapanya agar dapat menyelamatkan nasib manusia di muka bumi.
Sewaktu di planet Dr. Mann, geng Cooper mengejutkan kapten misi Lazarus itu dari hibernasi setelah berdekad menunggu. Planet ais itu menjanjikan bahan yang sesuai untuk hidupan muka bumi meneruskan kehidupan. Namun, Dr. Mann menyimpan hasrat untuk meninggalkan Cooper dan rakan-rakannya, memerangkap mereka di planet tandus itu untuk pulang ke Bumi setelah mengetahui pelan A tetap akan gagal sejak sebelum dia bertolak 10 tahun dahulu.
Pengkhianatan ini mengorbankan Romilly dan hampir membunuh Cooper, memaksa Brand untuk mengejar Dr. Mann sebelum dia mampu merampas kapal Endurance. Walau bagaimanapun, oleh kerana Dr. Mann tidak dibekalkan dengan pengetahuan mengakses kapal tersebut, beliau terkorban akibat letupan tekanan atmosfera kapal yang dinaikinya, memusnahkan sebahagian kapal Endurance.
Kini, bahanapi Endurance semakin berkurangan, Brand dan Cooper tiada pilihan selain bersinggah ke planet terakhir, Edmund. Cooper mengatur strategi untuk melancarkan kapal tersebut mengelilingi Gargantua dan berbekalkan graviti yang cukup kuat, melontarkan Endurance ke posisi menuju Edmund.
Kegembiraan terasa apabila strategi Cooper seakan berjaya sehinggalah Brand sedar Cooper merancang untuk terbang menuju ke lohong hitam bersama TARS untuk mendapatkan data khas dan mencari jalan pulang ke Bumi, selain meringankan beban Endurance untuk sampai ke Edmund. Brand terkilan tatkala melihat kapal Cooper terjun menuju lohong maut tak berpenghujung itu.
Setelah di dalam Gargantua, tekanan graviti yang terlalu kuat memaksa Cooper melompat keluar dari kapal Rangernya dan terapung apung sehinggalah beliau seakan dipindahkan ke sebuah alam baharu di luar dimensi kita - alam ciptaan makhluk asing sama yang mewujudkan 'wormhole' di awal cerita tadi.
Kagum dan terkejut, terowong masa berbentuk tesseract (segi empat dimensi ke-4) memaparkan ruang dan masa bilik tidur Murph sepanjang hayatnya. Masa ditampilkan sebagai elemen fizikal (ada tinggi, lebar, panjang) dan Cooper bebas ke mana-mana waktu di tempat yang sama. Cooper menggunakan terowong masa itu untuk berkomunikasi dengan Murph melalui kod Morse agar Murph dapat menyelesaikan pengiraan Prof. Brand menggunakan data khas yang ditemukan oleh TARS. Setelah berjaya, Cooper kemudiannya dipindah keluar dari terowong masa itu, keluar melalui 'wormhole' dan kembali ke sistem suria kita, 100 tahun sejak tarikh penerbangan asalnya.
Kini, Murph sudah tua dan nazak namun gembira melihat ayahnya yang dirindui di stesen angkasa Cooper - stesen khas yang menempatkan masyarakat manusia Bumi untuk dibawa ke planet Edmund. Nampaknya, misi Brand berjaya dan Murph memujuk bapanya untuk ke planet Edmund di mana di sana Brand sedang menunggu, kerana masa di sana berjalan dengan perlahan - beliau baru sahaja mendarat, menemui kekasihnya mati akibat tanah runtuh di planet yang penuh potensi sebagai Bumi baharu. Cooper dengan azam dan cinta baharu menjelajah antara bintang menuju ke planet Edmund untuk bertemu dengan Brand.
TAMAT
Konsep sains
Nampaknya, filem ini mengangkat dan menggarap 3 konsep sains bercampur fiksyen:
- relativiti / perhubungan masa dan ruang
- kewujudan lohong hitam dan 'wormhole'
- kewujudan dimensi lebih tinggi daripada dunia 3 dimensi kita
Kenapa 'wormhole' berbentuk sfera?
'Wormhole' kalau nak diterjemahkan kepada BM jadi lubang ulat. Pelik bunyinya.
Cuma bayangkan ia sebagai suatu terowong antara ruang dan masa, menceroboh rupa bentuk angkasa untuk membuat sebuah jalan pintas ke angkasa lain.
[Ini diterangkan dalam satu babak filem ini]
Bayangkan angkasaraya ini digambarkan sebagai sekeping kertas dan kita ingin menjelajah dari titik A ke titik B. 'Wormhole' bertindak sebagai jalan pintas seakan terowong menerusi dimensi. 'Wormhole' terjadi hasil pertembungan dua lohong hitam dengan dua 'singularity' atau penghujungnya.
Jika terowong antara dimensi itu terbentuk di atas kertas sebagai sebuah bulat (bentuk 2 dimensi),
maka di angkasaraya pula ia berbentuk sfera (bentuk 3 dimensi).
Jadi bentuk terowong itu pula berbentuk hipersfera (bentuk 4 dimensi)
Nak tunjuk gambar pun, tak faham mana satu rupa bentuk yang sebenar.
Namun, tenaga yang amat kuat perlu ada untuk terus menarik fabrik ruang-masa angkasaraya agar 'wormhole' ini akan terus terbentuk. Kalau tidak, ia boleh hancur dan jalan pintas itu akan hilang.
Kenapa 'wormhole' tu seakan akan cermin, menggelembung dan memaparkan imej balikan atau pantulan imej yang sama seperti yang dipaparkan dalam filem ini?
Hal ini kerana, ini berkaitan dengan fenomena gravitational lensing atau lensa graviti. Lensa graviti membolehkan objek dengan graviti yang cukup kuat untuk melentur ruang agar cahaya dari belakang objek itu boleh dilihat dari satu sisi lain. Jadi, imej pantulan itu sebenarnya imej dari bahagian sana, dari hujung terowong itu - gambaran galaksi lain di satu lagi pintu terowong itu.
Maka, permukaan objek tersebut seakan cermin dua hala: memantulkan cahaya dari arah pemerhati, dan memaparkan cahaya dari sebelah sana.
Simulasi lensa graviti - melenturkan cahaya di sekelilingnya. Terjadi pada lohong hitam dan 'wormhole' |
Apa itu 4-dimensi?
4 dimensi merupakan suatu ruang dimensi yang tidak terbayang oleh minda manusia kerana ia memiliki elemen dimensi tambahan iaitu:
- tinggi
- lebar
- panjang
- masa sebagai elemen fizikal (ada panjang, lebar, tinggi,)
3 dimensi ialah ruang yang kita tinggal sekarang di mana kita boleh rasa ruang ada tinggi, lebar dan panjang. Seperti sebuah kiub atau piramid, kita boleh rasa sisinya: ada tinggi, lebar dan panjang. Kita juga bebas bergerak ke depan, ke belakang, ke kiri, ke kanan, ke atas dan ke bawah.
Namun, elemen masa yang dikatakan fizikal itu memerlukan kita berkebolehan untuk bebas bergerak ke masa lampau, masa kini dan masa hadapan. Ini boleh dikatakan makhluk 4 dimensi mampu bergerak merentasi masa (time travel)!
Senang kata, 4 dimensi ini bukan sahaja kita boleh pegang ruang tapi kita boleh pegang masa.
Contoh objek 4 dimensi
Analogi ringkas tentang rupa bentuk objek merentasi dimensi:
Garisan (1 dimensi)
Inilah garisan yang paling ringkas. 1 dimensi. |
Kotak (2 dimensi)
Segi empat sama biasa. |
Kiub (3 dimensi)
Siapa tak kenal rupa bentuk kiub / kubus ni? Senang je, kan? |
Tesseract (4 dimensi)
Memang mustahil nak bayangkan. Pening kan. Bukan ilusi optik, tapi inilah rupanya jika dipusingkan. |
Bermula dari sini, akan jadi lebih sukar tapi boleh difahami.
Teori Relativiti Einstein
Berikut adalah fizik asas yang perlu difahami. Kalau, boleh cuba fahami.
Pengiraan di atas ini adalah hasil kajian Albert Einstein untuk membuktikan bahawa angkasaraya ini diikat dengan fabrik ruang-masa dan dapat dilentur/dibengkok dengan adanya graviti, jirim, tenaga dan momentum.
Untuk makluman, jirim itu ialah 'matter' dalam English. Tapi saya dilatih untuk menterjemah perkataan itu kepada jirim sejak sekolah rendah lagi.
Pendek kata, bayangkan fabrik ruang-masa itu sebagai sebuah trampolin.
Fabrik ruang-masa di mana objek dengan daya graviti akan melandut pada fabrik itu. |
Matahari jika diletakkan di tengah tengah trampolin akan melandut dan membentuk ruang seperti kawah. Kalau letak guli, guli itu akan berpusing mengelilingi Matahari dan akhirnya akan tenggelam ke dalam landutan itu.
Di angkasa pula, oleh kerana tarikan graviti begitu tinggi, Bumi makin ditarik ke arahnya, Namun, daya centrifugal atau emparan (macam eksperimen kita pusingkan cawan berisi air dan diikat dengan tali lalu dihayun dalam bulatan menegak berulang kali dengan laju tapi air tu tak jatuh) yang ada pada Bumi kerana Bumi berpusing pada orbitnya melawan arus graviti Matahari
Sekaligus,
daya tarikan graviti Matahari = daya emparan Bumi,
jarak antara Matahari dan Bumi sama dan tidak meningkat/menurun.
Prinsip ini digunapakai oleh semua jasad di angkasa dan boleh diukur.
Apa itu lohong hitam?
Lohong hitam ialah sebuah jasad angkasa yang mempunyai daya graviti yang cukup kuat untuk memerangkap apa jua, termasuk cahaya daripada terkeluar. Ada satu sempadan di mana jika sesuatu benda melepasi sempadan itu, maka ia tidak boleh terlepas lagi. Sempadan ini dinamakan 'event horizon'.
Lohong hitam digelar Gargantua dan planet Miller. Amat berhampiran. Beri banyak kesan. Lihat cakera akresinya. |
Tidak seperti dalam filem ini, ianya seringkali digambarkan sebagai suatu lubang yang seakan berpenjuru dan terapung di angkasa. Namun pengiraan tepat oleh ahli astrofizik Kip Thorne mencadangkan lohong hitam sepatutnya berbentuk sfera (sebagaimana 'wormhole', telah dibincangkan di atas).
Lohong hitam ini begitu gelap dan tidak memantulkan cahaya sehingga sukar untuk diperhati dan dikesan di angkasa. Ianya hanya boleh dikesan dengan fenomena lensa graviti (rujuk atas) dan kewujudan cakera akresi atau 'accretion disc' yang mengumpulkan apa sahaja jasad angkasa yang mengorbit sesuatu jasad lain seperti bintang, lohong hitam, planet dan sebagainya.
Ilustrasi accretion disc / cakera akresi |
Cakera akresi ini berupaya untuk menjadi cincin sepertimana yang berlaku pada planet Zuhal jika daya gravitinya cukup stabil.
Menurut teori relativiti Einstein:
"Semakin tinggi daya graviti, semakin lambat masa ditarik dan bergerak."
Jadi ini menyumbang kepada satu fenomena menarik iaitu...
Pengembangan Masa
Berdasarkan teori tersebut, masa akan berjalan dengan perlahan berbanding dengan tempat lain jika graviti memainkan peranan. Di dalam filem ini, disebutkan teori pengembangan masa di mana 1 jam di planet Miller (planet paling hampir dengan Gargantua) bersamaan 7 tahun di Bumi. Ini berikutan juga jika 1 saat di planet itu bersamaan dengan beberapa jam dan seterusnya.
Konsep ini mungkin berkesan secara teori namun praktikalnya sukar untuk diamalkan kerana fahaman kita tentang panjangnya 1 minit / 1 saat berbeza antara dua tempat.
Mungkin 1 minit di Bumi itu 60 saat, tapi di planet Miller? Sekelip mata?
Teori pengembangan masa ini juga berkesan di Bumi. Contohnya:
Seorang angkasawan berada di stesen angkasa dan seorang lagi di atas muka bumi.
Tarikan graviti di bawah lagi tinggi dari di atas.
Maka masa bergerak sedikit perlahan di atas berbanding bawah.
Hasilnya, angkasawan di atas itu akan mengalami penuaan sedikit perlahan daripada yang di bawah.
Masa pada objek merah bergerak perlahan kerana daya graviti agak rendah berbanding objek biru. |
Dalam babak terakhir, di mana Cooper terperangkap di dalam sebuah terowong masa berbentuk 5 dimensi memaparkan waktu berlainan di bilik tidur anaknya, Murph. Di sini, makhluk 5D boleh berkomunikasi dengan manusia 3D menerusi graviti.
Hal ini kerana graviti merupakan satu-satunya elemen yang mampu menjangkaui ruang dan masa. Graviti memberi kesan di semua dimensi, tidak kira tahapnya.
Bukan itu sahaja, Dr. Brand juga berhujah bahawa cinta itu juga mampu menjangkaui ruang dan masa. Hatta, cinta dan kasih Dr. Brand kepada Edmund selama sedekad itu memberi naluri positif kepadanya untuk berkunjung ke planet itu. Hubungan cinta dan kasih seorang ayah kepada anaknya juga melangkaui perjalanan masa: Cooper dan Murph.
Maka, pengarah Christopher Nolan membangkitkan semangat cinta sebagai elemen ke-5 yang mampu melangkaui masa dan ruang, membolehkan Cooper berkomunikasi dan memberi maklumat tentang 'singularity' lohong hitam bagi melengkapkan perkiraan Murph tentang graviti dan cara menyelamatkan manusia.
Paradoks - Tiada Kesudahan, Kisah Berulang Alik
Dalam filem sebelumnya (Inception), Christopher Nolan sering mengutarakan tema paradoks iaitu sesuatu yang aneh dan tiada kesudahan. Tidak hairanlah dalam filem ini dia menggunakan tema yang sama dalam teknik penceritaannya.
Banyak persoalan bermain di minda kini tatkala tamat menonton filem ini.
Siapa yang membina terowong masa itu?
Siapa yang menempatkan 'wormhole'?
Bagaimana Cooper boleh terselamat di dalam lohong hitam?
Jawapan bagi soalan 1 dan 2 itu cukup mudah - paradoks.
Mungkin bagi saya, kejadian seluruh filem Interstellar ini berlapis-lapis (satu tema yang sama dalam Inception, mimpi berlapis-lapis.
Bayangkan kisah bermulanya Cooper menjumpai kod rahsia di bilik Murph. Ketika itu Cooper berada di terowong masa sedang melihat kejadian itu.
Jadi, dua peristiwa tersebut berlaku serentak dan akan terus berlaku.
Kita dibawa untuk meneliti kisah A: kisah Cooper di alam 3D di mana dia mengalami peristiwa Interstellar.
Kisah B pula: kisah Cooper di alam 5D memerhati kisah A berlaku.
Kisah B itu hanya boleh tercipta dengan adanya makhluk yang cukup bijak untuk menguasai alam 5D - iaitu manusia akan datang.
Ini ialah Kisah C: tamadun manusia akan datang yang berjaya memanipulasi alam 5D dan membuka ruang tesseract bagi membolehkan sejarah terus berulang.
Hal ini kerana masa di alam 5D ditampilkan dalam bentuk fizikal. Bermakna manusia alam 5D akan sentiasa membina dan memusnahkan tesseract itu agar sejarah sentiasa berlaku.
Jadi ringkasnya:
Kisah A - Cooper mengalami peristiwa Interstellar (sentiasa berulang)
Kisah B - Cooper memerhati Kisah A dan menyampaikan maklumat (sentiasa berulang)
Kisah C - Manusia alam 5D membentuk dan memusnahkan tesseract (sentiasa berulang)
Ketiga-tiga kisah ini sentiasa berulang. Paradoks. Tiada garis awal dan akhir. Akan sentiasa berlaku.
Jadi soalan terakhir belum terjawab. Bagaimana Cooper terselamat di dalam lohong hitam?
Memang belum ada bukti bahawa seseorang mampu hidup dan terselamat jika tenggelam ke dalam lohong hitam. Namun, daya graviti yang begitu kuat dan mampat mustahil untuk terselamat. Namun, oleh kerana tamadun manusia 5D berjaya menguasai ilmu 5 dimensi dan menjadikan masa sebagai elemen fizikal, tidak mustahil untuk memanipulasi struktur lohong hitam.
Lagipun, mereka berupaya mencipta 'wormhole' dan terowong masa tesseract. Jadi mereka tahu dan sedar akan hakikat peristiwa Interstellar dan menyedari Cooper akan sentiasa terjun ke dalam Gargantua dengan harapan untuk kembali pulang.
Maka, manusia 5D sengaja meletakkan sebuah lagi portal/wormhole atau Gargantua itu sendiri sebenarnya sebuah wormhole ke alam tesseract terowong masa itu membolehkan Cooper sentiasa menyampaikan data singularity kepada Murph.
Semua ini terhasil atas kebijaksanaan tamadun manusia 5D suatu hari nanti selepas seluruh umat manusia berhijrah ke planet Edmund.
Sudah tentu, penjelasan ini tidak masuk akal. Lagipun ianya sains fiksyen. Segalanya mungkin benar.
* * *
Jadi sekian sahaja rumusan filem yang begitu mendalam. Ni dah bukan merumus, ni memperjelaskan. Semoga anda terhibur dan lebih faham tentang filem hebat ini.
Mungkin ada yang berpendapat tema filem ini lebih kepada cinta ayah kepada anaknya melangkaui ruang dan masa. Hakikatnya, banyak yang kita dapat teroka daripada filem ini.
Saya amat kagum dan terpesona dengan karya Christopher Nolan. Filem ini telah membuat saya berfikir, secara harafiahnya.
Syabas Nolan!
Sehingga berjumpa lagi.
Assalamualaikum.
syabas tuan blog krn memberi lebih pemahaman ttg filem ni. kali kedua sy tonton filem ni baru sy fhm perjalanan ceritanya. inilah filem paling real sy prnh tgk terutama babak di alam angkasaraya yg sunyi sepi tu.
ReplyDeleteTerima kasih kerana sudi membaca penerangan saya ini.
Deletethanks, paham sikit2 dripada xpaham langsung hehe. filem ni mmg masterpiece, akan dikenang sepanjang zaman (kipas susah mati incik keristofer)
ReplyDeleteterima kasih di atas penjelasan yg lebih mendalam tgk bekali2 filem ni pening jgk berfikir haha..kena fikir luar kotak 5D ..saya minat filem sains fiksyen
ReplyDeleteHarap admin boleh bagi penjelasan tentang babak jentera di ladang jagung cooper boleh return dgn sendiri dirumah dia? Benda apa yang buatkan jentera tu return dgn sendiri dirumah cooper? Mohon penjelasan.
ReplyDelete